JANGAN UBAH SUAI KEGUNAAN SAWAH PADI PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 05 February 2010 22:53

Yahya diberi taklimat ketika meninjau sawah padi di Kg Benoni, Papar.

PAPAR: Tanah atau sawah padi di Sabah, walaupun tanah yang terbiar tidak seharusnya digunakan untuk pembangunan lain, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin pada Jumaat.
Sebaliknya, sawah padi perlu diusahakan dengan penanaman padi secara lestari, manakala tanah yang terbiar perlu dipulihkan dengan penanaman padi bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap makanan import, katanya.
"Banyak tanah luar bandar yang memang sesuai untuk penanaman padi diambil untuk pembangunan lain seperti pembinaan kawasan perumahan dan penanaman kelapa sawit.


"Sepatutnya tanah yang sesuai untuk penghasilan makanan, terutamanya di luar bandar, tidak dikacau. Banyak lagi tanah lain boleh dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ladang Projek Perintis Padi Kampung Benoni dekat sini kendalian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata Sabah sepatutnya mampu mencapai lebih daripada 30 peratus tahap sara diri terhadap beras kerana mempunyai tanah yang luas untuk penanaman padi.
Menurutnya Sabah mempunyai 35,600 hektar tanah yang sesuai untuk penanaman padi dengan 27,500 hektar daripada keluasan itu masih produktif, manakala 8,100 hektar merupakan tanah terbiar.
Projek perintis kendalian MARDI itu merupakan antara 13 lokasi di seluruh negara yang terpilih untuk menjalankan Program Khidmat Sokongan Penyelidikan dan Promosi Teknologi MARDI.
Seramai 13 petani terlibat dalam program itu pada keluasan 11.02 hektar sawah milik petani-petani berkenaan.
Terdahulu, Yahya melawat projek pemulihan penanaman padi di tanah seluas 40 hektar daripada 109.65 hektar yang terbiar sejak 1999 di Kampung Langkawit dekat sini.
Katanya kawasan projek itu dinaiktaraf dengan sistem pengairan dan saliran sepanjang 3.3km dan siap pada tahun lepas dengan kos RM1.8 juta.
Kawasan projek itu melibatkan 44 petani yang mula menanam padi pada Oktober tahun lepas, katanya.

 

Last Updated on Friday, 05 February 2010 22:55
 

Weather

Sabah Travel Map Guide

Hotel Booking & Reservations